blank

Nama: Raja Ahmad Kamil bin Raja Mokhtar

Nama Pena: Ubi

Tarikh lahir: 26 Jun puluhan tahun yang lalu

Asal: Kuantan, Pahang

Karya:

  • Budak Hostel (UJANG)
  • Aku Dia & Volkswagen (UJANG)
  • IN (UJANG)
  • Skoolastik
  • Jenama X

Pengalaman berkarya: Kartunis profesional sejak 1994


Ubi atau nama sebenar mengikut I/Cnya adalah sebagai Raja Ahmad Kamil bin Raja Mokhtar, telah dilahirkan pada 26 Jun puluhan tahun yang lalu di Hospital Besar Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia.

Beliau membesar bersama ibunya dan 3 orang lagi adik beradiknya di Taman Tas Kuantan Pahang. Sejak beliau kecil lagi, ibunya yang penyayang lagi tabah tersebut sering membeli majalah kartun Gila-Gila (dan beberapa majalah hiburan lain lagi) sebagai bacaan santai mereka seisi keluarga. Kerana terpengaruh dengan majalah tersebut dan juga ketidakcemerlangannya dalam bidang sukan, Ubi telah menjadikan melukis kartun sebagai satu cara untuknya mengisi masa lapang dan juga untuk berlagak best pada kawan-kawan yang cemerlang dalam sukan.

Ketidakcemerlangannya dalam bidang sukan terus dikekalkan sehingga ke sekolah menengah. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila akademiknya juga turut merosot. Berdasarkan faktor-faktor tersebut, beliau dengan terdesaknya telah mengambil keputusan untuk menjadikan kerjaya kartunis yang kononnya glamour itu sebagai cara untuknya berjaya dalam hidup, dan juga sebagai batu loncatan untuknya berkenalan dengan artis-artis atau model-model yang cantik lagi glamour.

Berkat semangat model dan artis, Ubi telah berjaya menempatkan diri dan karyanya di Majalah Ujang pabila tamat persekolahan. Boleh dikatakan beliau adalah kartunis yang terbudak di situ pada ketika itu.

Sepanjang penglibatannya di majalah tersebut, Ubi telah berjaya menipu ribuan orang untuk membaca dan meminati hasil karyanya seperti ‘Budak Hostel’ (1994-1997), ‘Aku, Dia & Volkswagen’ (1997-2002) dan ‘IN’ (1999-2002). Penipuannya itu juga turut membuatkan beliau berjaya melariskan puluhan ribu buku koleksi karya kartunnya.

blank

Pada hari ini, selain daripada membuang masa dengan bermain game, melayari filem cetak rompak di internet, Ubi juga adalah seorang kartunis, pelukis komik, karikatur dan lelaki bebas sepenuh masa.

Dan pada hari ini juga, ketika artikel ini ditulis, Ubi masih lagi menggunakan kartunnya untuk berlagak best pada kawan-kawan yang cemerlang dalam arena sukan serta masih lagi berusaha untuk dapat berkenalan dengan mana-mana artis atau model yang cantik lagi glamour.