KOSMO, 29 Oktober 2016
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof
SIARAN iklan acap kali menggambarkan barangan kegunaan harian seperti pencuci pakaian atau pinggan mangkuk jenama X sebagai produk tidak kompetitif.
Secara tipikal, ia digambarkan sebagai gagal menghilangkan kotoran atau kesan minyak walaupun pengguna mencubanya berkali-kali.
Mencantas kelaziman itu, 10 kartunis berpengaruh negara mengangkat Jenama X sebagai judul naskhah terbaru mereka.
Buat julung-julung kali, mereka bergabung selepas sedekad membawa haluan masing-masing. Barisan nama seperti Gayour, Bawang, Ubi, Tembakau, Sireh, Lengkuas, Nik, Sukun, Bijan dan Aie pasti sudah sebati dalam kalangan peminat kartun tanah air.
Menurut Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Ubi, idea menghasilkan komik terbaharu itu tercetus selepas mendapat maklum balas peminat yang ternanti-nanti kemunculan karya terbaru mereka.
“Sokongan dan pertanyaan peminat menerusi pelbagai medium tentang penghasilan karya terbaharu adalah sumber inspirasi kami untuk melahirkan naskhah ini.
“Kami melihat karya seumpama ini biasanya diterbitkan dalam bentuk majalah dan dikira tamat tempoh selepas sebulan. Sebab itu, kami beralih kepada menerbitkan buku supaya ia bertahan lama di pasaran,
“Kewujudan Jenama X bukan sekadar menjadi platform kartunis untuk berkarya sebaliknya ia sebagai langkah permulaan mengubah arus perjuangan kartunis terlibat,” katanya pada majlis pelancaran Jenama X di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ubi yang bertanggungjawab menggerakkan kolaborasi itu merupakan kartunis termuda menyertai majalah Ujang pada 1994 ketika berusia 19 tahun.
Bagi Gayour atau nama sebenarnya, Mazli Ibrahim, karya itu disifatkan sebagai semangat baharunya dan rakan-rakan seangkatan.
Judul komik diilhamkan daripada nombor roman X yang melambangkan gabungan 10 kartunis yang popular pada 1990-an terutamanya dalam kalangan peminat tegar majalah Ujang, Apo dan Gila-Gila.
Dia berharap, penghasilan Jenama X dapat memartabatkan industri kartun tempatan yang kini lebih dominan dengan komik antarabangsa.
Bayaran
“Ada antara kami yang telah lama menyepikan diri dan melukis sekadar untuk melepaskan ‘ketagihan’ pada waktu senggang.
“Saya masih ingat, kartunis dahulu berkarya tanpa berkira mengenai bayaran. Asal sahaja diterbitkan, ia sudah memadai bagi kami,” ujarnya.
Jenama X menggabungkan 10 cerita pendek berkaitan pelbagai isu masyarakat, alam pendekar, romantis selain komedi seram yang disampaikan dalam gaya serta ragam mengikut identiti unik setiap kartunis.
Komik yang dilancarkan Datuk Mohammad Nor atau Datuk Lat itu pasti menghidupkan kembali nostalgia silam dengan cetakan hitam putih.
Sementara itu, pakar kartun dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr. Muliyadi Mahamood berpendapat, usaha secara kolektif itu dilihat lebih kukuh daripada bergerak sendirian.
Katanya, ia mencerminkan usaha gigih individu terlibat dalam menempuh industri kreatif yang semakin mencabar dengan kemajuan teknologi digital dan hambatan isu etika serta hak cipta yang melingkari dunia pengkaryaan.
Tambahnya, majalah kartun bercirikan budaya Malaysia bukan sahaja sarat dengan unsur humor yang menghiburkan tetapi menimbulkan kesedaran dan mendidik masyarakat.
“Jenama X merangkumi karya kartun untuk semua peringkat pembaca tidak mengira kanak-kanak, orang dewasa, pembantu am, penganggur, ahli politik, pelajar, bomoh, pendakwah dan segala macam jenis manusia.
“Cerita yang dipaparkan dalam buku ini adalah kisah kita semua, cerita orang Malaysia dengan gaya Malaysia,” ujarnya ketika dijemput berucap pada majlis itu.