
Andainya ada rekod dunia untuk siri komik yang paling lama nak disiapkan, pastinya rekod tu akan dipegang oleh siri Aku Dia & Volkswagen.
Siri ini bermula pada 1998 sehingga 2002, terbit dalam 64 bahagian dan hampir 300 mukasurat, serta dihentikan pada 2002 atas arahan individu yang memegang jawatan tertinggi pengurusan syarikat.
Tegas beliau, syarikat tidak berminat lagi untuk menyambung cerita tersebut dan segala apa jua karya daripada saya.
Untuk menerbitkan sendiri sambungan cerita tersebut adalah mustahil kerana HAKCIPTA siri tersebut adalah milik syarikat. Segala apa jua penerbitan berkaitan cerita dan watak komik tersebut wajib mendapat kebenaran pemilik hakcipta.
Faham dengan situasi ini, maka saya move on meneruskan hidup dengan mencipta siri komik lain dan melibatkan diri dalam kerja-kerja lain berkaitan lukisan kartun demi kelangsungan hidup.
Dipendekkan cerita, masa berlalu dan setelah lebih 20 tahun, segala siri cerita ini (1-64) yang pernah terbit di majalah Ujang dikoleksikan dalam satu buku pada 2024. Walaupun begitu, terdapat isu kenapa ceritanya tergantung.
Ya, pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa siri Aku Dia & Volkswagen ini diarahkan untuk dihentikan? Dan kenapa koleksinya diterbitkan dalam keadaan tergantung tiada penamat?
Panjang kalau nak diceritakan. Mungkin saya akan buat satu posting khas berkaitan kronologi yang boleh mengimbas kembali kedua-dua peristiwa tersebut.
Apapun, syukur siri ini kini akan disambung semula dan bakal menemui penamatnya…
Penantian lebih 20 tahun ini bakal menemui noktahnya. Beban yang ditanggung selama ini akan terlerai… Buat anda yang membacanya dan juga saya yang mengarangnya…
Andai dikenang kembali atas segala yang telah terjadi dan maruah diri yang diinjak-injak, saya memang dah tak nak sambung cerita ni balik.
Namun mengenang harapan besar dan janji kepada peminat yang sentiasa bersabar menunggu dan menyokong, segala ego saya ketepikan.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Doakan segalanya dipermudahkan dan apa yang dirancang berjalan lancar.
Pada yang nak throwback balik baca semua siri yang pernah keluar di Majalah Ujang (siri 1 – 64), boleh dapatkannya di sini. Selain komik, terdapat juga barangan edisi TERHAD lain seperti t-shirt, beg, poster giant dan lain-lain lagi.
Pada yang setia menunggu siri ini sehingga kini, alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan. Pada yang dah membenci dan mencemuh (baik di depan dan belakang), alhamdulillah dan terima kasih juga buat kalian.
Mungkin segala yang terjadi ini ada hikmahnya. Boleh jadi ini adalah yang terbaik mengikut perancanganNya. Dialah yang Maha Mengetahui dan sebaik-baik perancang. Amin…


Tinggalkan Balasan